COPA AMERICA 2011 : BRAZIL (0-0) VENEZUELA VIDEO HIGHLIGHTS
Brazil memulakan kempen Copa America 2011 dengan persembahan yang hambar apabila sekadar seri 0-0 dengan Venezuela.
COPA AMERICA 2011 : PARAGUAY (0-0) ECUADOR VIDEO HIGHLIGHTS
Paraguay sekadar seri 0-0 dengan Ecuador dalam saingan Copa America 2011
COPA AMERICA 2011 : COLOMBIA (1-0) COSTA RICA VIDEO HIGHLIGHTS
Colombia membuka perlawanan kumpulan A dengan kemenangan tipis ke atas Costa Rica 1-0 dalam saingan Copa America. Colombia mensia-siakan banyak peluang keemasan dan kecekapan penjaga gol Costa Rica, Lionel Moriera membantu mengekang serangan Colombia yang bertali arus.
Adrian Ramos menjaringkan gol untuk Colombia pada minit ke-45, tetapi kad merah yang dilayangkan kepada pemain Costa Rica, Randall Brenes menyukarkan mereka untuk mencari gol penyamaan.
COPA AMERICA 2011 : ARGENTINA (1-1) BOLIVIA VIDEO HIGHLIGHTS
Pemain gantian Sergio Aguero menyelamatkan maruah Argentina apabila meledak gol penyamaan ketika bertemu Bolivia didalam perlawanan pembukaan Copa America 2011.
Bolivia mendahului pada minit ke-48 hasil jaringan Edivaldo Rojas namun, 15 minit sebelum perlawanan tamat, Kun Aguero menyumbat gol volley cantik untuk mencatat keputusan 1-1 dengan Bolivia.
PREVIEW DAN ANALISIS COPA AMERICA 2011
Sejarah Copa America bermula tahun 1910, apabila Argentina menjemput Uruguay dan Chile untuk bertanding didalam pertandingan 3 penjuru yang dipanggil Copa Centenario Revolucion de Mayo. Bermula dari itu, satu pertandingan bola sepak dibentuk supaya lebih ramai negara dari seluruh benua Amerika Selatan dapat bertanding. Akhirnya pada 1916, Argentina menjadi tuan rumah pertama untuk pertandingan bola sepak seluruh Amerika Selatan yang pada ketika itu dikenali sebagai South American Championship of Nations.
Setelah nama pertandingan itu ditukar kepada Campeonato Sudamericano Copa América atau Copa America pada tahun 1975 dan kemasukan penyertaan kesemua 10 negara CONMEBOL, pertandingan bola sepak benua tertua itu kini memasuki edisi ke-43 dan kembali ke Argentina sebagai tuan rumah tahun ini dengan Brazil mencongak untuk merangkul piala tersebut untuk kali ke 3 berturut-turut – hatrik yang setakat ini hanya Argentina sahaja berjaya lakukan apabila menang pada kejohanan tahun 1945 hingga 1947.
Copa America 2011 berlangsung dari 1 Julai – 24 Julai 2011. Dua pasukan teratas dalam kumpulan dan 2 pasukan terbaik ditempat ke-3 akan layak ke peringkat kalah mati.
OVERVIEW
Brazil, juara empat kali dalam lima kejohanan Copa America yang terakhir, akan memburu kejuaraan hatrik mereka apatah lagi berdepan di laman musuh tradisi mereka Argentina. Mano Menezes sering menerima kritikan terhadap pemilihan kesebelasan utama Brazil dan keputusan-keputusan perlawanan sejak mengemudi Brazil, bagaimanapun adalah tidak mustahil untuk Seleção muncul juara sekali lagi pada edisi kali ini.
Uruguay memegang rekod sebagai pemenang terbanyak Copa America bersama Argentina dengan 14 kali menang. Uruguay sudah pasti akan memberi tentangan hebat pada Copa America tahun ini apatah lagi setelah mempamerkan kehebatan mereka pada Piala Dunia di Afrika Selatan tahun lalu.
Selain Uruguay, negara lain yang dijangka akan menjadi kuda hitam ialah Chile, Colombia atau Paraguay dan adalah tidak mengejutkan sekiranya mereka ini mampu layak ke pusingan separuh akhir kali ini. Ecuador juga, walaupun bukan dianggap sebagai pasukan pilihan tentunya tidak akan mudah menyerah kalah.
Sungguhpun begitu, dalam setiap kejohanan biasanya akan terdapat pasukan yang dianggap lemah atau kurang berpeluang untuk menberi saingan hebat berdasarkan kepada prestasi semasa atau skuad yang kurang mempunyai pemain bertaraf dunia. Pada Copa America kali ini, Bolivia, Venezuela dan Peru sudah tentu akan memberi kejutan terbesar sekiranya mereka mampu menewaskan pasukan-pasukan besar lain.
Dua wakil jemputan dari Amerika Utara, Mexico dan Costa Rica (Costa Rica menggantikan Jepun yang menarik diri pada 16 Mei 2011 selepas malapetaka tsunami melanda Jepun) kedua-duanya menghantar skuad Bawah-21 tahun mereka untuk kejohanan ini selepas penglibatan mereka dalam kejohanan CONCACAF Gold Cup di Amerika Syarikat bulan lepas. Walaupun kelibat pemain-pemain muda sering dinantikan namun pengalaman sudah tentu menjadi penghalang untuk Mexico dan Costa Rica memberi kejutan kepada gergasi Amerika Selatan.
ANALISIS KUMPULAN
KUMPULAN A – Argentina, Bolivia, Colombia, Costa Rica
Argentina sebagai tuan rumah dan pasukan pilihan dalam kejohanan dilihat tidak berdepan masalah untuk mendominasi kumpulan A. Pasukan yang terdiri dari pemain muda berbakat dan bertaraf dunia seperti Nicholas Otamendi, Javier Pastore, Ever Banega, Ezequile Garay dan Ezequiel Lavezzi, sepatutnya dengan mudah muncul juara kumpulan. Lionel Messi bakal menerima tentangan hebat dari pertahanan lawan dan tidak akan memberikan ruang untuknya bergerak bebas. Pengurus Sergio Batista dan ketua pasukan Javier Mascherano akan berjuang habis-habisan untuk memastikan penyokong tuan rumah terpesona dengan persembahan Argentina nanti dan sekaligus merangkul trofi kejuaaan.
RAMALAN: Juara
Colombia, pasukan yang masih dalam proses pembinaan semula. Gagal layak ke pusingan akhir dalam dua edisi Piala Dunia terakhir, mereka dilihat masih jauh dari prestasi kemuncak mereka ketika menjuarai Copa America 2001. Bagaimanapun, pasukan muda dan semakin meningkat yang diketuai oleh pemain pertahanan Milan, Mario Yepes dan kehadiran pemain-pemain penyerang seperti Hugo Rodallega dari Wigan, dan pemain Porto, Radamel Falcao dan Freddy Guarin seharusnya boleh meletakkan mereka memberi cabaran hebat.
RAMALAN: Suku akhir
Costa Rica yang menggantikan Jepun untuk mengisi slot kumpulan ini dilihat hanya sebagai pelengkap kumpulan apabila menghantar pasukan Bawah-21 tahun.
RAMALAN: Peringkat kumpulan
Sementara Bolivia, walaupun menang ke atas Argentina 4-1 pada saingan kelayakan Piala Dunia 2010 lalu, mempunyai harapan untuk menjadi salah satu pasukan tempat ke-3 terbaik.
RAMALAN: Peringkat kumpulan
KUMPULAN B – Brazil, Venezuela, Paraguay, Ecuador
B adalah Brazil dan gergasi Amerika Selatan ini dengan mudah seharusnya muncul juara kumpulan. Brazil dipenuhi dengan pemain hebat dan berbakat dan dengan mudah boleh mengutip 9 mata penuh. Walaupun Menezes sering mendapat kritikan daripada corak serangan yang Brazil tunjukkan, pasukan ini dilihat sebagai finalist pada tahun ini. Pemain muda Neymar dan Ganso adalah aset berharga pada kejohanan kali ini, namun begitu Brazil harus mengelak daripada terlalu over-confident sebagaimana yang berlaku pada Piala Dunia 2010 lalu.
RAMALAN: Naib juara
Paraguay yang majoriti pemain adalah pemain lama masih boleh memberi saingan hebat lebih-lebih lagi dengan prestasi yang memberangsangkan pada Piala Dunia 2010 lalu. Pengurus Gerardo Martino akan meninggalkan pasukan ini selepas Copa America namun berazam menghidangkan aksi pantas dan aggresif kepada pihak lawan. Roque Santa Cruz walaupun dilihat kurang menyengat di Manchester City dan Blackburn Rovers, masih menjadi nadi utama Paraguay pada kejohanan kali ini.
RAMALAN: Suku akhir
Venezuela selalunya menjadi pasukan belasahan dalam kejohanan peringkat antarabangsa namun kini prestasi mereka semakin meningkat lebih-lebih lagi selepas peringkat kelayakan Piala Dunia 2010. Pemain Borussia Mönchengladbach, Arango menjadi pemain utama dan skuad muda Venezuela boleh mencipta kejutan. Midfielder Wolfsburg, Yohandry Orozco adalah salah seorang pemain terbaik pada Kejohanan Bawah-20 Amerika Selatan awal tahun ini dan Venezuela juga boleh mengharap aksi dari beliau.
RAMALAN: Peringkat kumpulan
Formasi 4-4-2 yang diterapkan Reinaldo Rueda adalah mantap namun penyokong tempatan melabel beliau sebagai ‘King of Draws’ dan diboo selepas perlawanan persahabatan dengan Mexico. Antonio Valencia menjadi harapan Ecuador dibahagian sayap dengan kepantasan dan kelincahannya. Pertemuan dengan Venezuela menjadi kunci kemaraan Ecuador dalam Copa Amerika kali ini.
RAMALAN: Suku akhir
KUMPULAN C – Uruguay, Peru, Chile, Mexico
Disebalik pengunduran Marcelo Bielsa, tuah Chile semakin meningkat selepas kempen Piala Dunia yang menyaksikan mereka diterima oleh penyokong mereka. Bermain dengan corak menghiburkan dan menyerang dengan kelincahan dan kemahiran Alexis Sanchez dan Matias Fernandez, Borghi boleh bermain dengan formasi 3-4-1-2 atau 3-5-2. Bagaimanapun kerapuhan pertahanan Chile sering menjadi masalah dalam kekuatan pasukan mereka.
RAMALAN: Separuh akhir
Seperti kempen Kejohanan Gold Cup mereka bulan lepas apabila lima pemain diarahkan pulang apabila gagal dalam ujian dadah, skuad Copa America Mexico kali ini juga dilanda masalah besar apabila lapan pemain digugurkan dari skuad selepas disyaki terlibat dengan skandal seks tiga hari sebelum kejohanan bermula. Penyokong Mexico boleh menerima hakikat ini apabila Mexico menewaskan USA pada final Gold Cup lalu, namun dengan ketiadaan bintang Manchester United, Javier Hernandez dan bekas pemain Barcelona, Rafael Marquez, anak buah De la Torre dilihat akan menghadapi masalah besar.
RAMALAN: Suku akhir
Peru merupakan pasukan paling tercorot dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2010 bagi benua Amerika Selatan. Untuk kempen Copa America ini, Peru dilanda masalah berganda apabila dua pemain utama iaitu ketua pasukan Claudio Pizarro dan Jefferson Farfan terpaksa diketepikan akibat kecederaan. Pengurus Sergio Markarian bagaimanapun berjaya membuatkan Peru sebuah pasukan yang sukar dikalahkan – hanya bolos 3 gol dalam sembilan perlawanan semenjak mengambil alih pasukan.
RAMALAN: Peringkat kumpulan
Empat tahun lalu dalam pembukaan Copa Amerika 2007, Uruguay tewas 3-0 kepada Peru, namun bangkit semula sehingga layak ke peringkat separuh akhir. Selepas layak ke peringkat akhir Piala Dunia 2010 melalui play-off, pasukan underdog Oscar Tabarez menjadi pasukan yang paling diingati di Piala Dunia Afrika Selatan apabila mereka layak ke separuh akhir – dengan bantuan tangan Luis Suarez ketika menentang Ghana. Sejak 1995, Uruguay tidak pernah lagi memenangi Copa America, namun kini dengan kehadiran pemain seperti Diego Forlan, Luis Suarez dan Diego Godin, Uruguay dilihat mampu memberi cabaran kepada pasukan lain dan mengembalikan memori ketika mereka menjadi juara enam kali dalam sembilan edisi pertama Copa America.
RAMALAN: Separuh akhir
ANALISIS EMPAT PASUKAN PILIHAN
URUGUAY
Dikemudi oleh Oscar Tabarez, bekas pemain pertahanan kelab dalam liga Uruguay, Argentina dan Mexico dan bersara sebagai pemain professional ketika berusia 32 tahun. Pernah menjadi pengurus A.C Milan pada 1996 dan telah dianugerahkan sebagai South American Coach of the Year pada tahun 2010.
BARISAN KEMUNGKINAN
FORMASI: 3-1-3-3
Fernando Muslera (Lazio) – Boleh diharap, cekap.
Diego Lugano (Fenerbahce) – Ketua pasukan, mantap, tinggi, tetapi mudah gelabah.
Diego Godin (Atletico Madrid) – Berpengalaman, laju, mempunyai kelebihan dalam bola tinggi.
Maxi Pereira (Benfica) – Pemain bek kanan yang juga boleh bermain posisi tengah.
Alvaro Pereira (Porto) – Pemain bek kiri berambut panjang, laju dan sering naik untuk menyerang, mantap dalam bertahan.
Walter Gargano (Napoli) – Defensive midfielder yang menjadi anchor kepada bahagian tengah.
Christian Rodriguez (Porto) – Pemain sayap yang pantas dan mempunyai hantaran lintang yang tepat.
Diego Perez (Bologna) – Pemain tengah berkaliber dengan purata lima tackle dalam setiap perlawanan.
Edinson Cavani (Napoli) – Senjata sulit Uruguay, penyerang yang bijak dan prolifik.
Luis Suarez (Liverpool) – Pemain bertaraf dunia, boleh bermain di bahagian sayap atau penyerang kotak penalti.
Diego Forlan (Atletico Madrid) – Penyerang berpengalaman.
PEMAIN SIMPANAN
Martin Caceres (Sevilla), Mauricio Victorino (Gremio), Andreas Scotti (Colo Colo), Sebastien Eguren (Sporting Gijon), Sebastien Abreu (Botafogo).
BRAZIL
Dikemudi oleh Mano Menezes, bekas pemain pertahanan untuk Guarani de Venâncio Aires sekitar awal 1980an namun bersara awal dan menjadi guru pendidikan jasmani pada 1986. Kejayaan terbesar Menezes dalam kejurulatihan bola sepak ialah apabila berjaya membawa kelab bukan liga 15 de Novembro sehingga ke peringkat separuh akhir Copa do Brasil pada 2004 dengan menewaskan pasukan ternama, Vasco Da Gama. Pernah menjadi jurulatih Corinthians dan Gremio sebelum mengambil alih jawatan Dunga sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Brazil.
BARISAN KEMUNGKINAN
FORMASI: 4-4-2
Julio Cesar (Inter Milan) – Penjaga gol berpengalaman dan antara terbaik di dunia ketika ini.
Thiago Silva (A.C Milan) – Pilihan utama pertahanan. Terbaik di Italy dan Brazil.
Lucio (Inter) – Ketua pasukan yang berpengalaman besar. Akan memenangi cap ke-100 untuk Brazil.
Maicon (Inter Milan) – Bersaing dengan Dani Alves untuk posisi bek tengah. Kedua-duanya adalah bek kanan terbaik dunia ketika ini.
Andre Santos (Fenerbahce) – Dengan ketiadaan Michel Bastos, posisi bek kiri menjadi miliknya.
Ganso (Santos) – Menjadi pemain utama untuk posisi tengah Brazil pada ketika ini. Bintang yang semakin menyinar.
Ramires (Chelsea) – Pemain tengah yang menyerang dan melakukan pertahanan sekaligus.
Elano (Santos) – Berpengalaman. Pemain tengah yang boleh bermain dibahagian kanan. Pakar tendangan sepakan percuma
Sandro (Tottenham Hotspurs) – Bersaing dengan Lucas Leiva untuk posisi Defensive midfielders.
Neymar (Santos) – Penyerang muda berbakat besar, kemahiran gelecek bola yang tinggi dan mempunyai persefahaman yang baik dengan Ganso. Menjadi penyerang idaman Chelsea dan Real Madrid.
Robinho (Milan) – Penyerang lengkap yang mempunyai kemahiran hebat untuk menggelecek, tendangan padu dan hantaran yang tepat.
PEMAIN SIMPANAN
Luisao (Benfica), David Luiz (Chelsea), Adriano Correa (Barcelona), Lucas (Sao Paulo), Jadson (Shakhtar), Fred (Fluminense), Alexandre Pato (Milan).
CHILE
Dikemudi oleh Claudio Broghi, bekas midfilelder kebangsaan Argentina pada 1986 yang bermain bersama Diego Maradona dan menjulang Piala Dunia 1986 pada ketika itu. Pernah menjadi jurulatih Boca Juniors, Argentinos Juniors dan Independiente.
BARISAN KEMUNGKINAN
FORMASI: 3-1-3-3
Claudio Bravo (Real Sociedad) – Ketua pasukan, berpengalaman dan bijak dalam set piece.
Waldo Ponce (Cruz Azul) – Pertahanan yang kental dan mempunyai kelebihan dengan bola tinggi.
Pablo Contreras (PAOK) – Pertahanan yang mantap, juga boleh bermain sebagai bek kiri atau kanan.
Gonzalo Jara (West Brom) – Bek kanan yang boleh menyerang. Juga boleh bermain di posisi tengah.
Carlos Carmona (Atalanta) – Defensive midfielder yang boleh juga bermain sebagai attacking midfielder.
Mauricio Isla (Udinese) – Pemain sayap yang hebat dan kadang-kadang bertindak sebagai pertahanan. Hebat menggelecek bola dan melakukan hantaran yang tepat.
Jorge Valdivia (Palmeiras) – Bertindak sebagai playmaker dengan hantaran yang tepat.
Arturo Vidal (Bayer Leverkusen) – Pemain defensive midfield yang membantu kelabnya menjadi menjadi naib johan dalam Bundesliga.
Alexis Sanchez (Udinese) – Laju dan boleh bermain sebagai sayap atau penyerang solo. Mempunyai chemistry yang baik apabila bermain dengan Mauricio Isla.
Jean Beausejour (Birmingham City) – Tendangan paadu, tandukan hebat dan hantaran yang tepat.
Humberto Suazo (Monterrey) – Penyerang berpengalaman yang masih menyengat.
PEMAIN SIMPANAN
Rodrigo Millar (Colo-Colo), Matias Fernandez (Sporting CP)
ARGENTINA
Pasukan tuan rumah yang dikemudi oleh Sergio Batista yang juga seperti Borghi, merupakan pemain midfileder skuad Argentina yang menjualang Piala Dunia 1986 dan pemenang tempat ke-2 Piala Dunia 1990. Antara kejayaan terbesar Sergio Batista ialah apabila membawa skuad Olimpik Argentina menjadi Juara pada Summer Olympics Tournament, di China menewaskan Nigeria 1-0 pada tahun 2008.
BARISAN KEMUNGKINAN
FORMASI: 4-4-2
Sergio Romero (AZ Alkmaar) – Steady. Hebat dengan bola lintang.
Javier Zanetti (Inter Milan) – Lagenda Inter Milan yang kembali ke pasukan kebangsaan pada usia 37 tahun dengan 145 caps. Bermain posisi bek kiri.
Pablo Zabaleta (Manchester City) – Pemain bek kanan yang sering menyerang dan melakukan pertahanan dalam masa yang sama.
Gabiel Milito (Barcelona) – Kembali cergas untuk menyarung jersi kebangsaan. Mantap di bahagian pertahanan.
Nicholas Burdisso (Inter Milan) – Versatile dan boleh bermain di semua posisi pertahanan.
Javier Mascherano (Barcelona) - Ketua pasukan yang menjadi nadi bahagian tengah dan pertahanan.
Angel Di Maria (Real Madrid) – Pemain tengah yang versatile yang boleh bermain di posisi sayap atau tengah.
Esteban Cambiasso (Inter) - Pemain tengah terbaik dalam pasukan dan nadi bagi pasukan Inter Milan.
Ever Banega (Valencia) – Mempunyai hantaran yang tepat dan sering melakukan larian-larian berbahaya yang mengelirukan pertahanan lawan.
Lionel Messi (Barcelona) – What there else to say? Pemain terbaik dunia pada ketika ini.
Carlos Teves (Manchester City) – Laju. Penyerang hebat dan bertaraf dunia. Memiliki kemahiran tinggi dalam sepakan percuma.
PEMAIN SIMPANAN
Ezequiel Garay (Real Madrid), Javier Pastore (Palermo), Fernando Gago (Real Madrid), Gonzalo Higuain (Real Madrid), Sergio Aguero (Atletico Madrid), Ezequiel Lavezzi (Napoli), Diego Milito (Inter).
HARAPAN COPA AMERICA 2011
Walaupun kredibiliti pasukan yang bertanding tidak dapat dipertikai, secara realistiknya final Copa America 2011 dilihat bakal menemukan Argentina vs Brazil. Uruguay mempunyai pasukan yang kuat dan tidak mustahil mereka boleh mencipta kejutan untuk layak ke final.
Chile, Ecuador dan Paraguay mengharapkan untuk layak ke peringkat separuh akhir dan pasukan mereka juga boleh mencipta kejutan. Chile dijangka menjadi pasukan pilihan untuk layak ke separuh akhir dan sekiranya layak mereka juga dilihat mampu untuk melangkah ke final.
Bagi pasukan lain, adalah amat sukar untuk membuat ramalan disebabkan sistem dua tempat ke-3 terbaik akan layak ke peringkat suku akhir. Bagaimanapun, lapan pasukan lain akan mengharapkan untuk layak ke lapan pasukan terakhir dan selepas itu peluang untuk mencipta kejutan boleh berlaku.
Untuk juara, kelebihan sebagai tuan rumah meletakkan Argentina sebagai pilihan utama. Albiceleste memiliki rangkaian serangan yang hebat tetapi perlu memantapkan lagi pertahanan mereka untuk melaksanakan tugas tersebut. Sekiranya mereka gagal, Brazil, Uruguay malah Chile juga akan berjuang habis-habisan. Semoga aksi Copa America kali ini dihiburkan dengan persembahan menarik perlawanan bertaraf dunia. Messi, Neymar dan Luis Suarez akan berjuang habisan-habisan untuk membawa negara mereka menjuarai Copa America 2011 dan aksi mereka amat dinanti-nantikan.



